Sesungguhnya 'anak-anak akhirat' memandang dunia ini dari 'jendela' akhirat. Kerana itu, mereka hanya tersenyum dikala 'anak-anak dunia' berasak-asak merebut sebiji 'bola'.

Ingatilah mati di perkampungan dunia ini sebelum engkau menuju ke sebuah perkampungan yang disana engkau mengharapkan mati, tetapi ia tak akan kau temui.

* Kullu nafsin za'iqatul maut *

16 Disember 2009

Catatan Hati Fatinah [6]


Siri Enam : Gelaran Itu Bukan Miliknya.

Majlis Tautan Ukhuwah bakal diadakan selepas Maghrib nanti. Aku dan beberapa AJK yang dilantik insya Allah menghadirkan diri sedari Asar supaya kelancaran majlis dapat dipantau. Alhamdulillah, dari tautan ukhuwah begini akan mengeratkan hubungan sesama para pelajar dari bumi Malaysia walau berlatarbelakangkan pelbagai bidang dan pengkhususan.

"Fatinah, itulah yang digelarkan "protaz" oleh pelajar Malaysia." Jari Kak Maimunah segera ditunjukkan kepada seorang lelaki. Aku tidak berhajat untuk melihat gerangan protaz tersebut.

"Kak, apa pendapat akak dengan gelaran protaz? Profesional Ustaz!" Aku mengalihkan fokus dan minda. Sekadar berkongsi idea.

"Bagi akak itu kelebihan pada umat Islam. Disamping ilmu fardhu kifayah yang telah menjadi fardhu ain, dia perkasakan juga dengan ilmu-ilmu agama. Tidak ramai mampu menguasai 2 bidang dengan baik." Jawab Kak Maimunah sampai tangannya mendodoi Aliyah yang dihurung kantuk.

"Alhamdulillah. Masih ada yang mementingkan ilmu agama disamping memperkasakan ilmu lain. Insya Allah, sebagai wasilah untuk memajukan ummah." Aku tersenyum, mengiyakan kata-kata Kak Maimunah.

"Fatinah selepas habis Psikologi ni nak buat apa? Sambung buat master atau terus kerja? Orang yang gagal merancang ialah orang yang merancang untuk gagal. Orang yang merancang tetapi gagal, ia adalah perancangan dari Allah untuknya." Kata Kak Maimunah selepas aku lebih menekankan pada kalam memajukan ummah.

"Insya Allah, kalau ada rezeki saya nak sangat belajar tetapi sebagai anak saya nak balik dulu jenguk mama dengan abah di kampung. Lama sangat tak balik kak, dah 3 tahun! Rindu tak tahu nak diungkap lagi, bukan air mata darah lagi tapi dah air mata nanah ni. Fatinah anak bongsu, jadi ujiannya tu... berat juga kak."

Ketawa aku dengan apa yang aku utarakan, ujian menjadi anak bongsu dan berjauhan dengan keluarga agak mendera emosiku. Semasa di sekolah asrama dahulu, setidak-tidaknya aku boleh juga menjenguk ke rumah apabila cuti tetapi bila di perantauan, aku perlu korbankan perasaan demi sebuah pengembaraan.

"Tanggungjawab sebagai anak, jaga la hubungan dengan ibubapa sebelum berkahwin. Nanti dah berkahwin, perlu mengikut suami pula." Kak Maimunah tersenyum. Raut wajahnya dilemparkan pada Aliyah yang sudah nyenyak.

"Kak Mai masa dulu sebenarnya apa yang diidamkan? Nak jadi apa? Kira cita-cita la..." Aku tersenyum, mahu mengeratkan ukhuwah dengan seorang senior yang menjadi kakak kepada kami di sini.

"Masa sekolah dulu, Kak Mai set selepas habis sekolah terus nak pergi Jordan. Kononnya nak mengaji di Jordan la. Tapi, mak ayah tak bagi anak dara musafir jauh sangat seorang diri pula. Jadi, Kak Mai hanya sambung belajar di Universiti Malaya hingga la selepas belajar tu dapat tawaran untuk datang ke sini. Kak Mai ambil kejuruteraan kimia. Masa dulu kan, orang pandang lawak pada kita yang berkelulusan sekolah maahad nak mengaji kimia tapi dengan semangat juga la Kak Mai teruskan, alhamdulillah. Selepas ni kalau tiada halangan Kak Mai dan suami nak terus buat PhD."

Panjang cerita Kak Maimunah. Sinonim pelajar agama seakan mesti meneruskan pengajian di bidang agama. Tetapi, keperluan dibidang lain juga perlu diseimbangkan supaya umat Islam seimbang dari pelbagai bidang.

"Kiranya Kak Mai ni protazah la ye? Profesional ustazah, al-Quran pun hafaz dan dalam masa yang sama teori kimia sarat dalam kepala." Aku mula mengusik.

Ketawa kecil Kak Maimunah dengan usikan aku. Terkejut Aliyah yang menyedari ketidakselesaan dirinya di atas pangkuan si ibu.

"Macam-macam la Fatinah ni."

Aku tersenyum.

"Bagi saya kan kak, saya kurang setuju dengan istilah protaz mahupun protazah ni." Aku menguntum senyum.

"Kenapa Fatinah kurang setuju? Bukan ke satu kekuatan ummah apabila seorang muslim atau muslimah menguasi bidang agama dalam masa yang sama mengukuhkan ilmu dalam cabang lain?" Soal Kak Maimunah memerhati gerak geriku.

"Bagi Fatinah, gelaran ustaz itu untuk ustaz. Dan profesional itu pada bidangnya. Ustaz juga seorang profesional, profesional sebagai seorang ustaz! A holy men. Singa itu jangan diletak dalam kandang nanti tak rasa gerun pada taringnya, biarkan saja singa mengaum di hutan belantara baru terasa getar nadanya." Aku melontarkan kata.


[Gambar] Syeikh Dr Yusri Rushdi as-Sayyid Jabr al-Hasani

"Tapi ada juga profesional yang mantap ilmunya seperti contohnya Syeikh Dr Yusri. Seorang pakar bedah dan mampu mengajar kitab kepada para pelajarnya. Ibnu Sina juga pakar dalam beberapa bidang dan banyak kajian perubatan. Al-Khawarizmi ilmuan islam yang hebat di bidang matematik." Jelas Kak Maimunah.

Aku tersenyum. Teringat aku pada Sa'adah, sahabat yang selalu menceritakan tentang Syeikh Dr Yusri, pakar bedah yang juga mampu mengajar talaqqi kepada para pelajar.

"Itu benar kak, saya langsung tidak mempertikaikan kehebatan mereka dan sumbangan yang teramat besar kepada Islam. Tetapi, kita yang masih sebagai penuntut di sini terkadang gemar menggelar seseorang itu protaz. Tetapi dia bukannya seorang yang mantap dalam ilmu agama selain latar belakang sebuah sekolah agama." Aku meluahkan rasa.

"Betul juga dik. Tetapi, bukan la bermaksud merendahkan dirinya hanya kerana dia tidak bertalaqqi dengan para syeikh. Kita raikan ilmu dan cara dia yang tidak kedekut menyebarkan risalah dakwah. Tidak hanya menyimpan sendirian. Rasulullah juga mengingatkan kita, sampaikan daripadaku walau sepotong ayat." Terang Kak Maimunah.


Sedikit tidak aku sangkalkan cuma aku teramat tidak senang apabila gelaran protaz itu menjadikan lesen untuk mereka mengeluarkan pendapat tanpa melakukan kajian ilmiah terlebih dahulu.

"Kak, kita bayang mereka belajar dengan disiplin ilmu yang tinggi dan amat menjaga ilmu tersebut. Meredah lautan untuk menadah kitab bersama para ulama', dan kita pula berjuang ilmu dengan pelbagai bidang.

Ada di bidang kejuruteraan, sains kesihatan, perubatan, pengkhususan kimia, pengkhususan fizik juga pelbagai pengkhususan lain. Datang seorang pelajar dari kalangan penuntut ilmu syariah mahupun usul fiqh kepada kita yang belajar sedikit mengenai komposisi bahan kimia dan bersyarah dengan kita.

Mesti kita yang sememangnya berada di bidang ini merasa mereka kurang sesuai untuk menunjuk ajar sedang mereka sebenarnya profesional dalam prospek agama. Bukan bidang kajian sains.

Kita mengkaji sains, membuat kajian ilmiah terhadap ilmu-ilmu sains dan mereka mengkaji ilmu agama dan membuat kajian ilmiah terhadap jutaan kitab para ulama'.

Kita meraikan mereka yang mempelajari bidang sains tetapi bidang ini adalah bidang kita dan agak susah untuk seseorang menghadam 2 bidang yang bertentangan dengan mudah. Para ilmuan Islam terdahulu hebat kerana iman dan taqwa, apabila mereka tidak lagi mampu untuk berfikir (terhadap kajian yang dilakukan) mereka tidak terus berfikir lagi seperti kita bahkan mereka segera berwuduk dan solat. Memohon petunjuk dari Allah.

Melainkan kalau seseorang itu belajar bidang sains sehingga hadam akan butir-butirnya kemudian mengembangkan sayap ilmunya terus kepada bidang agama atau sebaliknya. Memegang kedua-dua konteks ilmu ini, baru la boleh dikatakan protaz seperti Syeikh Dr Yusri yang mana beliau belajar kedua-dua ilmu iaitu perubatan dan juga syariah islamiyah!"

Aku ketawa kecil. Muka Kak Maimunah sudah menahan rasa hati.

"Fatinah ni kan....!" Terus Kak Maimunah ketawa. Terhambur tawanya yan ditahan-tahan...

"Kenapa kak?" Kaget aku. Bimbang si kakak berkecil hati dengan aku yang terkadang terlebih bicara.

"Bila diam, terlalu berdiam sehingga dikatakan pendiam! Bila bercakap, macam pop-corn! Laju sungguh sampai akak tak sampai menyelit. Subhanallah, ada juga orang petah yang menyimpan kepetahannya." Terang Kak Maimunah.

"Bukan kak... Saya cuma terasa kecil hati apabila akak menunjukkan seseorang itu protaz sedangkan jauh dan menjadi beban untuk dia menggalas gelaran tersebut. Kasihan dia kak."

Aku tunduk. Tersenyum dan bangkit mohon undur diri untuk bersiap.

"Ya Rabbi, semoga semua ilmu yang kami pelajari ini adalah cebisan dari ilmu-ilmu Mu yang teramat luas. Dan aku pohon ya Allah, kurniakanlah kepada kami ilmu-ilmu yang membawa manfaat kepada kami, ummah dan deen. Janganlah Engkau sombongkan kami dengan secebis ilmu yang kami ketahui, sesungguhnya Engkau sajalah Pemilik segala ilmu yang Engkau pinjamkan kepada ku. Ya Allah, rahmatilah kami... Pandanglah kami dengan pandangan rahmat Mu."

Wuduk membasahi muka... Dan airmata mengalir tanpa aku sedar. Mama! Abah! Achik rindu pada sentuhan tarbiyyah kalian! Doakan Achik agar kerinduan ini Achik simpan sehingga waktu untuk bertemu.

Teringat akan kalam Kak Syuhada pada usrah lalu, "Barangsiapa yang menta'zimkan (memuliakan) syiar Islam, itulah orang yang bertaqwa."

Insya Allah. Wallahua'lam.

... fatinah ...

[1] Kredit kepada encik Google yang menemukan blog ini kepada faqirah.

[2] Buah tangan sebelum ana meredah lebuh raya Utara-Selatan. Bermain ombak dan bersenandung bersama sang pepasir. Oh angin yang berpuput lembut, nantikan kehadiranku untuk merasai dekatnya ALLAH. Wahai pantai yang berombak lembut, akanku pijak gigi muaramu agar aku rasa indahnya menjadi pengembara ilmu ALLAH.

Read more...

15 Disember 2009

Catatan Hati Fatinah [5]


Siri Kelima : Duhai Muslimah, Peliharalah Auratmu!

"Ustazah, kenapa ustazah selalu pakai jubah?"

Aku tersenyum pada anak-anak muridku. Belum sempat aku jawab, seorang lagi mengajukan soalan.

"Kenapa ustazah pakai tudung labuh?"

Awalnya, aku amat tidak senang digelar ustazah. Pujukan demi pujukan dari Tokki Anjang buat aku serba-salah menolak pelawaan Tokki Anjang.

"Fatinah, dari tak buat apa-apa. Mengajarlah budak-budak kampung ni, masa ni la hang nak buat amal kebaikan. Jariah, insya ALLAH. Bila kita mati, hanya 3 perkara yang mengalir sebagai amalan kebaikan kita. Anak-anak soleh solehah, sedekah selagi mana ia diguna pakai dan juga ilmu bermanfaat yang kita ajarkan. Kesian budak-budak kampung ni, mereka tak ada tenaga pengajar. Banyak masa dihabiskan dengan main, tak ada siapa nak mengajar."

"Ustazah, kalau pakai jubah dengan tudung labuh macam ni, tak hangat ka?" Soalan demi soalan dari anak-anak ini buat aku pula yang tak terjawab.

"Sat... Sat. Berhenti tanya sat, bagi peluang ustazah jawab." Kata Nabila sambil berdiri, aku melantiknya sebagai penolong ketua kelas. Pekat loghat Kedahnya.

"Baiklah, kelas harini kita habiskan awal. Alhamdulillah, ustazah nak berkongsi cerita pula. Mudah-mudahan anak-anak ustazah ni kelak akan jadi manusia berguna. Insya ALLAH."

"Ameennnnn!" Serentak anak-anak ini menjawab, subhanaLLAH baru 3 minggu aku mengajar. Nampaknya sudah ada perubahan atas anak-anak ini.

"Masa zaman Rasulullah dahulu..."

"Sallallah 'alaihi wassalam..." Sahut anak-anak ini. Aku tersenyum, berhenti seketika.

"Semasa turun perintah, ayat Qur'an menyuruh para wanita Islam menutup aurat maka bertebaran mereka mencari sesuatu untuk menutup aurat mereka. Tidak sedikit mereka bertanya kenapa, mengapa, bagaimana, dan sebagainya. Itu keimanan para sahabat di zaman Rasulullah."

"Sallallah 'alaihi wassalam..." Aku berhenti seketika.

"Anak-anak, aurat seorang wanita yang sudah baligh ialah keseluruhan badan kecuali ini dan ini." Aku menunjuk bahagian muka dan tapak tangan, tidak mahu memanjangkan syarah pada anak-anak ini.

"Syarat menutup aurat ialah pakaiannya longgar, tebal, maksudnya bukan ketat apatah lagi nipis." Aku menyudahkan 'cerita' mengenai aurat.

"Tapi, awatnya ustazah pakai tudung labuh? Pakai tudung biasa tak boleh ka?" Soal Nabila.

"Insya ALLAH, boleh Nabila asalkan bahagian dada tertutup. Sebaiknya labuhkan sedikit tudung supaya tudung kamu tidak terselak bila ditiup angin." Aku menjawab sekadarnya.

"Tak panas ka?" Soal Hidayat, seorang hyper-active dan talk-active.

"Kehidupan kita di dunia adalah jambatan menuju alam akhirat. Kita membuat bermacam-macam kebaikan di dunia, maksud ustazah kita di dunia hanya sebagai seorang musafir. Contohnya, kamu dari sini nak ke Kuala Lumpur. Kamu bermusafir di sepanjang jalan, destinasi kamu ialah Kuala Lumpur. Sepanjang jalan dari Kedah ke Kuala Lumpur, kamu hanya menjadi musafir. Begitulah kita di dunia. Panas di dunia ni hanya sedikit saja Hidayat, di padang Mahsyar kelak matahari yang selama ini memancarkan terik hanya sejengkal dari kepala kita."

"Panasnya, tak ada payung ka ustazah?" Hidayat mengerut dahinya. Anak-anak lain khusyuk mendengar.

"Bagi orang yang beriman dan beramal soleh, terasa nyaman. Insya ALLAH. Adik-adik nak jadi orang beriman tak?"

Dari perkataan 'anak-anak' aku menukar kepada 'adik-adik' supaya lebih akrab.

"Nakkkkk...!" Aku tersenyum melihat wajah anak-anak ini.

.....

Itu cerita 4 tahun dahulu. Sebelum aku menjejakkan kaki ke Kota London, kota metropolitan yang sering menduga. Pernah aku diberitahu seorang ikhwah, seorang teman sekelas semasa sekolah dahulu. Sahabat yang melanjutkan pengajian di bidang geologi di Australia.

"Kita di sini mahal sungguh harga iman. Tak tahu mana lagi nak pandang, sana-sini mendedah aurat. Lelaki beriman saja lah..."

"Enta kurangkan keluar rumah kecuali untuk keperluan." Aku memberi saranan.

"Benar kata enti, insya ALLAH moga enti juga dipelihara ALLAH di sana. Jaga pandangan, jaga aurat dan maruah sebagai seorang muslimah. Di mana pun kita dicampak, andai kita ialah benih yang baik insya ALLAH tetap menjadi pohon yang subur."

Dimanakah harga seorang muslimah itu. Pada kecantikannya? Atau pada akhlaqnya? Atau sebenarnya pada dasar agamanya?

"Wanita solehah insya ALLAH menjaga akhlaqnya. Tetapi wanita yang menjaga akhlaqnya belum tentu solehah, sopan tingkah lakunya, baik pekertinya, manis senyumannya tetapi tidak bertudung kepala." Nafisah membebel panjang pada aku pagi ini. Bebelan Nafisah juga mengingatkan aku pada anak-anak muridku di kampung dahulu.

"Nafisah, benar kata enti. Insya Allah, Islam itu datang juga untuk memperbaiki akhlaq manusia. Islam lengkap, syumul." Aku cuba menenteramkan Nafisah. Entah apa anginnya, seharian membebel.

.....


"Tapi Kak Fatinah, bukannya Allah memandang manusia itu dari pakaiannya sebaliknya pada iman dan taqwa."

Rentetan soalan dan pertanyaan mengenai aurat, dari soalan anak-anak muridku 4 tahun dahulu, bebelan Nafisah hingga larut malam dan kini seorang junior bertanya pada ku selepas bertanya bermacam-macam soalan.

"Betul, Allah memandang iman dan taqwa bukan pada pakaian tetapi bukanlah bermaksud di sini Islam tidak menitikberat soal pakaian. Bukankah aurat seorang wanita itu sebenarnya ialah maruah dirinya? Contohnya sepinggan nasi yang dibiarkan terdedah, dihurung lalat dan sudah pastilah tiada orang yang mahu memakannya. Berbeza dengan sepinggan nasi yang ditutup dan terhindar dari lalat, antara dua situasi ini mana yang nakal Zulaikha pilih?" Sekadar berbasa-basi.

"Mestilah yang terhindar dari lalat, lalat kan membawa penyakit." Zulaikha pantas menjawab.

"Alhamdulillah. Begitu juga perumpamaannya. Rambut itu mahkota, salah satu tarikan seorang wanita. Dan penyakitnya juga apabila tidak menutup aurat ialah mendatangkan masalah pada diri kita sendiri dari lelaki yang mempunyai masalah hati. Setiap wanita itu hiasan, dan sebaik-baik hiasan ialah yang menjaga perhiasan dirinya."

"Eh, Ika pakai tudung lah Kak Fatinah." Tersipu-sipu Zulaikha apabila aku katakan rambut itu mahkota wanita, pernah aku terlihatnya tidak memakai tudung dengan sempurna semasa keluar bersama teman-teman Kristian.

"Memang benar Ika pakai tudung. Kak Fatinah tak cakap Ika tak pakai tudung, tetapi sempurnakan tudung Ika." Sambil tanganku membetulkan tudungnya yang diletak pada kiri dan kanan bahu.

"Labuhkan tudung hingga tertutup bahagian dada." Kataku pada Zulaikha.

"Eh, macam ni pun kira fail lagi ke Kak Fatinah? Susah la... Takkan nak pakai macam Kak Fatinah, sentiasa pakai tudung labuh dan jubah."

"Kalau kita nak tahu kita tutup aurat dengan sempurna atau tidak, lakukan satu ujian ini secara praktikal." Kataku... Bersahaja.

"Macammana?" Zulaikha nampaknya bersungguh mahu menjalani ujian praktikal yang aku katakan. Alhamdulillah.

"Solat saja dengan pakaian yang Zulaikha pakai tanpa memakai telekung. Kalau selesa, yakin dengan pakaian Zulaikha, maka... soal aurat tidak timbul lagi di hati Zulaikha." Aku senyum.

"Eh, boleh ke solat macam ni je kak?"

"Dalam solat, pokoknya menutup aurat. Telekung itu satu 'usaha' untuk menutup aurat. Longgar, tebal dan tutup keseluruhannya."

"Nampaknya pakaian Ika belum lagi menutup sepenuhnya. Baju Ika masih mengikut shape, terima kasih Kak Fatinah. Satu lagi soalan!"

"Teruskan, insya Allah akak berusaha jawab kalau akak mampu nak jawab." Aku melemparkan senyuman pada mad'u, junior aku di sini yang mengambil jurusan Bio-Kesihatan.

"Kalau Allah hanya memandang taqwa dan iman, kiranya as long menutup aurat OK la kan. Lelaki pula boleh la pakai seluar pendek as long as bawah paras lutut?" Tersengih Zulaikha dengan soalannya.

Berkerut dahi aku.

"Cuba Zulaikha fikir, kalau seorang lelaki yang selalu berseluar pendek, menampakkan bulu kakinya, baju yang entah apa-apa dan style yang langsung entah apa-apa, tiba-tiba bagi nasihat 'janganlah kamu melakukan kemungkaran, baiki hubungan sesama manusia dan pelihara hubungan dengan ALLAH'. Rasa-rasanya Ika akan ketawakan dia atau Ika akan terasa insaf dengan bicaranya?

Situasi kedua pula, seorang perempuan memakai pakaian yang ranggi, make-up tebal 2 inci sambil jalannya macam itik pulang petang, terkedek-kedek dan tiba-tiba bagi nasihat 'jagalah qiyamullail, dari itu kamu akan dekat dengan ALLAH.' Apa yang akan Ika rasa? Adakah nasihat itu diterima atau diketawakan?

Pakaian hanya wasilah, selagi menutup aurat insya ALLAH. Aurat juga sebenarnya ujian atas iman sejauh mana kita akan memperjuangkannya. Wallahua'lam."

Zulaikha tersenyum.

"Owh macam tu, betul juga pakaian memainkan peranan penting dalam menyampaikan risalah Islam. Thanks kak Fatinah! May Allah keep us among the pious. Doakan Ika ye kak, banyak betul ujian di sini." Pelukan hangat dari Zulaikha sebelum kami berpisah, salam dan kucupan dari seorang adik.

Moga Islam itu dijunjung walau di mana sahaja kaki ini melangkah.

Ya Allah, Engkau berilah kepada kami kekuatan sebagaimana Engkau memberi kekuatan pada Sumayyah dalam memperjuangkan keislamannya. Ya Allah, Engkau kurniakan kesabaran pada kami sebagaimana Engkau sabarkan Zinnirah dalam urusan agama. Ameen.

Langkah kaki semakin layu, mata harus dilelapkan dan telinga perlu direhatkan dari bebelan yang menjadi muzik seharian dari Nafisah.

Nafisah, moga dirimu sentiasa bersemangat menyebarkan risalah dakwah. Thabatkan kami ya Allah.

... fatinah ...

Read more...

13 Disember 2009

Hadiah Buat Semua

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, seronok rasanya kerana Catatan Hati Fatinah memberi banyak respon, teguran dan juga kritikan yang sangat membina.

Catatan Hati Fatinah adalah wadah untuk ana mencari mood untuk menulis siri Pohon Cinta Madinah yang masih lagi di aras 'pembekuan minda'. Jadi, sebagai wadah untuk mencairkan idea ana mula mencari satu 'subjek' khusus iaitu dengan menjadikan Catatan Hati Fatinah sebagai satu eksperimental. Alhamdulillah, ianya sedikit sebanyak mendapat maklum balas dan refleksi buat ana.

Catatan Hati Fatinah juga bersifat santai, tidak berat, dan pastinya tidak mahu memberatkan minda. Bagi yang gemar berfalsafah, Catatan Hati Fatinah bukanlah bahan bacaan yang baik. Ia hanya satu catatan dari hati seorang insan bernama Fatinah, watak ciptaan semata-mata.

"Akak, terharu sangat Atin baca cerita yang akak tulis. Sebak Atin."

Komentar seorang super-duper junior sekolah ana, sememangnya ana tidak pernah mengenalinya secara langsung di alam persekolahan tetapi terjejak kasih lewat dunia internet dan antaranya ialah beliau merupakan kawan kepada adik ana.

"Kenapa Atin terharu?" Sekadar merungkai persoalan.

"Sebab akak guna nama Atin; Fatinah."

Ana hanya tersenyum. Tiada sebab khusus penggunaan nama Fatinah. Ana hanya mengambil dari maksud Fatin dan menjadikan ia 'komersial' sebagai Fatinah. Lebih-lebih lagi tulisan ini 'di simpan' untuk kedua-dua adik perempuanku yang mempunyai pangkal nama Fatin.

"Kenapa pula Atin sebak?" Persoalan kedua.

Ana TIDAK menulis selain untuk menghiburkan, untuk mengingatkan dan untuk mencambah rasa tahu dan mahu.


"Sebab... Atin rasa untungnya kalau ada kawan macam tu (rujuk Catatan Hati Fatinah [4])."

Ana tersenyum lagi. Fathinah seorang yang sensitif pada hemat ana, wallahua'lam.

"Kalau kita tak ada kawan macam tu, kita berusaha untuk jadi kawan seperti itu."

Tersenyum lagi. Itu maklum balas dari seorang pembaca.

Maklum balas lain-lain buat ana tersengih, macam-macam.

"Kenapa la adik suka sangat tulis yang sedih-sedih, bila akak baca akak pun jadi sedih. Aduiiii..."

"Syirah ni sentimental sangat la... Boleh menitis air mata akak baca tau, ceria la sikit tulisan tu."

Pelbagai 'ragam' komen yang buat ana tersengih. Eksperimental yang ana kelaskan sebagai berjaya. Iya, berjaya mendapat komen yang pelbagai.

"Kak, terus menulis sampai jadi buku ye..." Kata Atirah.

"Insya Allah, sedang mengusahakan dik..." Ana tersenyum simpul, teringat pada Pohon Cinta Madinah, bila agaknya idea mahu datang dari hati. Sudah berkali menulis dan sudah berkali juga delete.

"Eh, tak sangka saya tengah sembang dengan bakal novelis." Tak senyum, terus ketawa.

DAHULU, ana yang menjadi 'adik' dan dipanggil 'adik' oleh 'kakak-kakak', sehingga fikrah ana juga tidak seperti 'adik-adik' yang lain dek kerana selalu bergaul dengan yang lebih berusia.

SEKARANG, ana pula menjadi 'kakak' oleh 'adik-adik' sehingga ada keletah mereka buat ana ketawa panjang. Terbayang ana pada keadaan 'kakak-kakak' ana selama ini, pantas ana menekan bebutang pada hp.

"Kak, terima kasih selama ni melayan Syira dengan baik..."

Catatan Hati Fatinah ini pada awalnya khusus dedikasi buat seseorang, watak yang benar-benar hidup di dalam kehidupan ana. Tetapi, melihatkan beliau mahu menggigit setelah membaca siri pertama, maka... Ana menghadiahkan kepada semua (tapi bukan la bermaksud semua orang boleh gigit ana sewenang-wenangnya). Semoga ia bermanfaat.

* selamat menegur, mengkritik, menasihat dan menyumbang saran *

Beberapa teguran awal yang diberikan, mampu untuk ana lebih sensitif dan peka pada siri seterusnya. Insya Allah, siri kelima akan disambung. Tapi, tajuk apa ya? (",)

Kota Damansara,
22.13 pm.

Read more...

iN my HeaRt

Daisypath Anniversary Years Ticker Daisypath Anniversary Years Ticker Daisypath Anniversary Years Ticker Daisypath Anniversary Years Ticker

Silent Home

Silent Home
Bila emosi mengunci hati, lalu lahirlah ayat-ayat sepi sebuah monologku merentasi perjalanan menuju Rabbi :)

aSkiNg sOuL

Feeling alone?
Innallahha ma’ana

Saw evil act?
Inni akhafullah

Wishing something?
Fa’iza ’azamta fatawakkal’alallah

Missing somebody?
Ma fi qalbi ghairullah.

DeeP heart

Lilypie Kids birthday Ticker Lilypie Kids birthday Ticker Lilypie Kids birthday Ticker

Buah Tangan Untuk Tetamu

Tiap-tiap yang indah itu cinta tetapi yang indah mutlak hanyalah satu iaitu Yang Maha Esa. Bahagialah orang yang telah sempurna mahabbahnya akan Dia. Kesempurnaan mahabbahnya itu ialah kerana dia menginsafi 'tanasub' yakni persesuaian batin antara dirinya dan Dia. Orang yang paling bahagia di akhirat kelak ialah orang yang paling kuat mahabbahnya kepada Allah s.w.t..

Semakin kuat mahabbah antara Muhib (pencinta) dengan Mahbubnya (yang dicintai), maka semakin besarlah nikmatnya. Puncak kelazatan itu adalah pertemuan itu. Lazat datang setelah datangnya mahabbah. Mahabbah timbul daripada makrifat. Makrifat lahir setelah hati bersih daripada renungan fikir dan zikir yang murni, puncak percintaan ialah nikmat yang mampu 'disentuhi' dan 'dikecapi' setelah mampu melihat keindahan Ilahi - Robbi. Smile

[Imam al-Ghazali ; Minhajul 'Abidin]

  © Template Lar Doce Lar por Emporium Digital Graphics Jenny's Grandchild and Irene's Corner

TOPO